Selasa, 18 Ogos 2009

Utusan Malaysia Online + Berita Harian Online VS HarakahDaily.Net - Isu Terbaru Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat



Berita Harian Online

Islam Umno tidak masuk syurga: Mursyidul Am Pas

Nik Aziz samakan agama dibawa Umno seperti diamalkan di Palestin

BUKIT MERTAJAM: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, membuat tuduhan terbaru terhadap Umno dengan mendakwa Islam dibawa parti itu sama seperti Islam diamalkan di Palestin.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan dengan nada sinis, berkata ajaran Islam dibawa Umno sudah tentu tidak boleh membawa seorang Muslim untuk ke syurga.

"Ada perbezaan antara Islam dibawa Pas, berbanding Islam dibawa Umno kerana Islam mereka (Umno) tidak membawa ke mana-mana dan tidak membolehkan seseorang itu masuk syurga.

"Atas perkara itu, saya percaya penduduk di Permatang Pasir akan memilih calon Pas (Mohd Salleh Man) sebagai wakil rakyat mereka, bukannya calon Umno (Rohaizat Othman)," katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di sini, semalam.

Pengundian akan diadakan pada 25 Ogos ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Hamdan Abd Rahman, pada 31 Julai lalu kerana sakit jantung.
Sebelum ini, ketika berkempen pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Nik Aziz pernah mengeluarkan kenyataan berbentuk tuduhan terhadap Umno dengan menyatakan parti itu sama seperti komunis.

Selain itu, beliau turut menyamakan Umno yang majoritinya dianggotai orang Islam seperti Ayah Pin, iaitu individu yang pernah menyebarkan ajaran sesat di Terengganu, beberapa tahun lalu.

Baru-baru ini, Nik Aziz tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.

Beliau sebaliknya menyalahkan pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.
Kenyataannya itu dibidas pemimpin Umno antaranya Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan Nik Aziz sanggup menghalalkan tindakan menghina Islam tanpa memikirkan sentimen orang lain hanya kerana pihak menghina adalah dari rakan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Nik Aziz menasihatkan parti bertanding pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir menjaga etika masing-masing dan tidak membuat serangan peribadi.



Utusan Malaysia Online

Ahli UMNO tak akan masuk syurga

BUKIT MERTAJAM 17 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, anggota UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

Katanya, terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota UMNO.

"Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam di sini hari ini selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Pengundian ialah pada 25 Ogos ini. - BERNAMA




www.youtube.com

HarakahDaily.Net

Nik Aziz mahu saman pemutar belit kenyataan beliau

KOTA BAHRU, 18 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak media yang memutar belit kenyataannya dengan mendakwa beliau berkata "ahli Umno tidak masuk syurga".

"Saya akan berbincang dengan peguam dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana media yang telah menokok tambah kenyataan saya," katanya sewaktu sidang media di pejabatnya tadi.

Beliau berkata demikian kepada media sebagai menenafikan laporan akhbar hari ini yang melaporkan kenyataannya bahawa "Ahli Umno Tidak Akan Masuk Syurga", di pejabatnya tengahari tadi.

Sebuah akhbar harian menyiarkan di muka depan kononnya Nik Aziz berkata, ahli Umno tidak akan masuk syurga.

Sebelum ini, akhbar yang sama telah memohon maaf kepada Nik Aziz di muka depannya kerana mentyiarkan kenyataan yang salah tentang Nik Aziz.

Nampaknya, Nik Aziz terpaksa sekali lagi mengambil pendekatan saman terhadap akhbar ini.

"Saya biasanya mengunakan perkataan penyokong Umno, saya tidak mengunakan ahli Umno. Penyokong lain, ahli lain.

"Saya tidak pernah menyentuh mengenai ahli-ahli Umno, tetapi saya menyentuh dasar yang dibawa oleh Umno," katanya lagi.

Tambahnya lagi, memang mana-mana orang Islam yang mengasingkan Islam dan iman mustahil akan masuk syurga.

"Mana-mana gerakan orang Islam yang hanya mementingkan Islam sahaja tanpa iman, memang mustahil masuk syurga, itu yang saya sebut, tidak langsung maksudkan anggota parti Umno," tegasnya.

Sambungnya lagi, beliau juga turut menafikan beliau mendakwa parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

"Saya tidak sebut langsung tentang Palestin waktu tu, ni semua tak lain tak bukan untuk memburukkan saya dan membiarkan saya ni jadi balah (berkelahi) pula dengan Umno,"ujarnya.

Ketika diminta mengulas adakah kenyataan beliau sering diputar belitkan kerana musim pilihan raya kecil, Tuan Guru memberitahu beliau memang sedar tentang perkara itu.
"Kita memang dah tahu dah cara (taktik) parti ni, memang macam tu lah,"ujarnya.

Akhbar perdana sudah jadi akhbar Umno

Menyentuh kenyataan Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakarian, yang mengulas kenyataannya melalui hanya membaca di akhbar, Nik Aziz berharap agar Harussani mendapat maklumat yang sebenarnya melalui beliau.

"Sebagai seorang mufti kalau nak buat kenyataan kena tanya saya dahulu iaitu tuan punya cakap.

"Beliau tidak boleh turut (baca melalui) surat khabar, surat khabar arus perdana sekarang ni surat akhbar Umno, macam mana dia nak buat ulasan menurut surat khabar," ujarnya.

Nik Aziz juga berharap, agar rakyat di negara ini merdekakan pemikiran dari menurut manusia kepada menurut Nabi Muhamad SAW.

"Manusia kena menukar pemikiran dari mengikut manusia kepada menurut kepada ajaran Nabi Muhamad SAW,"katanya.

Sumber : HarakahDaily.Net


Tiada ulasan: