Khamis, 13 Ogos 2009

Al-Fatihah - Ustaz Asri Ibrahim, Vokalis Rabbani




Ustaz Asri ‘pergi tak kembali’

Kelunakan suara vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim, 40, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Asri tidak akan luput di ingatan, meskipun beliau telah meninggalkan kita semua. Pemergian arwah bukan sahaja satu kehilangan dalam industri nasyid tanah air, bahkan industri muzik keseluruhannya.

Allahyarham yang rebah ketika menjayakan sebuah rancangan sempena Ramadan terbitan RTM, Syahadah, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira jam 10.30 pagi semalam setelah dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai (PMC), Bangsar, Kuala Lumpur, untuk mendapatkan rawatan.

“Dua hari sebelum ini arwah memang kurang sihat. Demam dan ada sikit batuk-batuk. Sebelum pergi reherasal untuk program ni, Ustaz Asri ada mengambil madu dan limau untuk kurangkan batuk, tapi lepas tu dia terus muntah-muntah.

“Masa rehearsal pula, kami dah perasan wajahnya semakin pucat. Kami ada tanya dia, nak teruskan atau tidak majlis ini, tapi dia kata nak teruskan juga. Baru saja dia nak pegang mikrofon, tiba-tiba dia jatuh dan terus pengsan.

“Pada mulanya kami ingatkan dia cuma pengsan sahaja, tapi bila bawa ke Hospital Pantai ini, doktor sahkan yang dia sudah meninggal kerana serangan jantung,” ujar Asri Ubaidullah, salah seorang anggota Rabbani, ketika menceritakan semula saat-saat Allahyarham Asri menghembuskan nafas akhirnya.

Sementara itu, adik iparnya Adha Buyong, memberitahu Allahyarham ada menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan gastrik di tahap serius.

“Kira-kira jam 10.30 pagi saya ada menerima panggilan memaklumkan Allahyarham pengsan di RTM. Walaupun arwah ada banyak penyakit, tetapi semuanya masih terkawal, cuma pagi tadi arwah mengadu tidak sihat dan muntah-muntah. Tapi dia tetap mahu meneruskan tugasnya untuk program Syahaddah di RTM itu,” katanya ketika ditemui di PMC.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Ibrahim Yahaya, memberitahu, beliau turut rasa terkejut dengan pemergian Allahyarham yang amat tidak diduga. Sebagai ikon nasyid negara, pemergian beliau semestinya diratapi amai orang, terutamanya peminat industri nasyid negara.

“Masa saya sampai di RTM, saya nampak ramai orang kelam-kabut dan ramai yang menangis. Ketika itu juga, saya nampak anggota Rabbani cuba selamatkan arwah. Walaupun kita cuba sedaya upaya bawa ke hospital berhampiran, namun Tuhan lebih sayangkan arwah.

"Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang besar dalam industri nasyid kontemporari dan pastinya sukar untuk dicari ganti,” kata beliau yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada bintang nasyid terkenal itu.

Jenazah Ustaz Asri disembahyangkan di Masjid Kampung Bukit Lanchong,Shah Alam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Majlis Bandaran Shah Alam di Seksyen 21 selepas Asar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Haliza Shahadan, 38, dan enam orang anak iaitu Mohd Nasimudin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilhan, 10, Sufiyah Munawarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 4.

Antara artis yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham ialah, Yassin (Brothers), Nash, Mas Omar, Amy Search dan isteri, Ramli MS, Nassier Wahab, Ina Naim dan suaminya, Suhaimi Saad.


Ustaz Mohd Asri Ibrahim (1969 – 2009)

Allahyarham Asri disifatkan sebagai pahlawan nasyid oleh beberapa penggiat nasyid seperti Raihan, Hijjaz dan sebagainya yang turut sama berjuang menyebarkan syiar menerusi hiburan alternatif yang menjurus kepada ajaran Islam.

Suara emas yang dimiliki Allahyarham memang tiada galang gantinya. Tidak keterlaluan jika dikatakan Asri adalah ikon kepada kumpulan nasyid yang ada pada hari ini.

Memulakan kerjaya bersama Rabbani pada Mac 1997 dengan mengetengahkan irama nasyid klasik, kemudian demi menyahut dimensi baru industri muzik, irama alunan Rabbani kemudian diadun dan diolah mengikut cita rasa terkini.

Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini adalah dengan konsep yang tersendiri

Walau pun pernah dikritik apabila memulakan revolusi muzik yang dikatakan tersasar daripada landasan irama nasyid sebenar, Allahyarham sebagai ketua kumpulan tetap dengan pendiriannya.

Maka muncullah lagu berjudul Pergi Tak Kembali yang dicipta bersama dengan KRU yang mengangkat nama Rabbani di persada muzik nasyid tanah air.

Sejak itu, Rabbani mula dikenali ramai dan berjaya merangkul anugerah demi anugerah. Asri dan Rabbani pernah mengungguli kategori Penyanyi Nasyid Popular Anugerah Bintang Popular selama lapan tahun berturut-turut.

Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi dan memberikan kejayaan kepada Rabbani.

Tidak kurang juga anugerah yang dicapai di Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti Album Nasyid Terbaik 2001 (Iqrar - 1421), Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album 2001 (Iqrar-1421), Album Terbaik 2001 (Iqrar-1421), Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), Album Nasyid Terbaik 2003 (Qiblat) serta Album Nasyid Terbaik 2009 (Nostalgia Nada Murni) dan Lagu Nasyid Terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati).

Sepanjang tempoh 12 tahun perjuangan Asri bersama Rabbani dalam industri muzik, Rabbani telah pun menghasilkan 19 buah album termasuk ‘ARAH Dari Mana Ke Mana’ (1997), ‘Pergi Tak Kembali’ (1999), ‘Intifada’ (2000), ‘Yalla Beena’ (2004) dan banyak lagi serta yang terbaru, ‘Nostalgia Nada Murni’.

Kosmo - 14 Ogos 2009

Tiada ulasan: