Wajah-wajah Ceria


Sabtu, 27 Jun 2009

Ciri-Ciri Isteri Idaman Lelaki...



Ciri-Ciri Isteri Idaman Lelaki

T Taat pada Allah
A Amanah pada suami
Q Quran di junjung
W Wanita solehah
A Akhlak terpuji


T Tunjuk kasih sayang
A Anak pandai dididik
A Amal sunnah nabi
T Tutup keaiban suami


S Solat dijaga
O Orang tua dihormati
P Puasa dikerjakan
A Aurat di pelihara
N Nabi dicontohi

Rabu, 17 Jun 2009

Bingkisan Doa - Dedikasi Pada Dia...




Ya Allah.... Seandainya telah engkau catatkan... Dia milikku tercipta buatku... Satukanlah hatinya dengan hatiku... Titipkanlah kebahagian antara kami.... agar kemesraan itu abadi... Dan ya Allah... ya tuhanku yang maha mengasihi... Seiringkanlah kami melayari hidup ini... Ketepian yang sejahtera dan abadi... Tetapi ya Allah... Seandainya telah engkau takdirkan.... dia bukan miliku... Bawalah ia jauh dari pandanganku.... Luputkanlah ia dari ingatanku... Dan peliharalah aku dari kekecewaan.... Serta ya Allah ya tuhanku yang maha mengerti.... Berikanlah aku kekuatan... Melontar bayangannya jauh ke dada langit... Hilang bersama senja nan merah.. agarku bisa bahagia... Walaupun tanpa bersama dengannya... Dan ya Allah yang tercinta... Gantillah yang telah hilang.... Tumbuhkanlah kembali yang telah patah... Walaupun tidak sama dengan dirinya... Ya Allah ya tuhanku... Pasrahkanlah aku dengan takdirmu... Sesungguhnya apa yang telah engkau takdirkan... Adalah yang terbaik buat ku.... kerana engkau maha mengetahui... Segala yang terbaik buat hamba Mu ini... Ya Allah... Cukuplah engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku... Di dunia dan di akhirat... Dengarlah rintihan dari hamba Mu yang daif ini... Jangan engkau biarkan aku sendirian... Di dunia ini mahupun di akhirat... Menjuruskan aku kearah kemaksiatan dan kemungkaran... Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman... Supaya aku dan dia sama2 dapat membina Kesejahteraan hidup...

AMIN...



Kisah Puteri Rasulullah s. a. w. Yang Bernama Siti Fatimah r. a.



Kisah Puteri Rasulullah s. a. w. Yang Bernama Siti Fatimah r. a.
Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah s. a. w. Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai, Siti Khadijah. Itulah Siti Fatimah r. a., wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.

Bersuamikan Sayyidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Sayyidina Ali yang merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah s. a. w., merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain.

Namun jauh di sanubari Rasulullah s. a. w. tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya. Rasulullah s. a. w. pernah bersabda kepada Sayyidina Ali,"Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia."(Riwayat Abu Hurairah)

Wanita pilihan untuk lelaki pilihan. Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata- kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya. Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Sayyidina Usman Ibnu Affan itulah dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah di dunia dan di Akhirat.

Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan anak-anak, memasak, membasuh dan menggiling tepung, dan yang lebih memenatkan lagi bila terpaksa mengandar air berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.
Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Sayyidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur. "Terima kasih suamiku," bisik Fatimah pada suaminya. Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

Suatu hari, Rasulullah s. a. w. masuk ke rumah anaknya. Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata. Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu. Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu." Dalam nada sayu Fatimah berkata, "Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?" Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz Bismillah, Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu. Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya. Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu. Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti, sehinggalah Rasulullah s. a. w. menghentikannya.
Berkata Rasulullah s. a. w. dengan kata-kata yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat." Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah. Ayahanda yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?" "Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan. Rasulullah s. a. w. bersabda, "Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca 'Subhanallah' sepuluh kali, Alhamdulillah' sepuluh kali dan 'Allahu Akbar' sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali."

Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah. Itulah hadiah istimewa dari Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya

Buat renungan semua: Orang yang berfikiran besar banyak memperkatakan ilmu Orang yang berfikiran sederhana banyak memperkatakan peristiwa Orang yang berfikiran rendah banyak memperkatakan manusia Orang yang berfikiran cetek banyak memperkatakan diri mereka

Nabi SAW bersabda, ada 4 perkara yang dipandang baik, tetapi 4 lagi dipandang lebih baik iaitu
1. Sifat malu dari lelaki adalah baik, tetapi dari perempuan adalah lebih baik,
2. Keadilan dari setiap orang adalah baik, tetapi dari pemimpin adalah lebih baik,
3. Taubat dari orang tua adalah baik, tetapi dari orang muda adalah lebih baik,
4. Kedermawan dari orang kaya adalah baik, tetapi dari orang fakir adalah lebih baik.



13 Wasiat Rasulullah SAW Kepada Ali



13 wasiat Rasulullah kepada Ali

RASULULLAH SAW ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang menarik dan boleh dijadikan bahan renungan bersama ialah wasiatnya kepada menantu baginda, Saidina Ali Abu Talib.

Sungguhpun wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim dan muslimah, perlu menjadikannya sebagai iktibar lalu menjadikannya amalan.

Larangan dan suruhan Rasulullah saw melalui wasiat itu, adalah juga untuk kaum Muslimin dan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara dalam wasiat itu adalah ciri-ciri utama orang beriman.

Berikut adalah antara wasiat Nabi kepada Ali seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:

Ibnu Abbas meriwayatkan, bahawa Ali Abu Talib berkata: "Pada hari perkahwinan dengan Fatimah, Rasulullah saw bersabda kepadaku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untukku:"

1. Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakai kain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal'un).

2. Wahai Ali, janganlah engkau ‘memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah'. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.

3. Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar:
"Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta" ( Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman: "Hai malaikat-Ku, sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni dia".

4. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidq (benar) itu berkat dan kizb (dusta) itu celaka.

5. Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba. Bahawasanya orang berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di pintu syurga.

6. Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.

7. Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.

8. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.

9. Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek (mencungkil) gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak dicolek selepas makan.

10. Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah.Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke atas hamba-Nya. Pertahankah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.

11. Wahai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.

12. Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman. Dengan itu, engkau dikasihi seluruh isi langit dan bumi.

13. Wahai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan, nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.

Wahai Ali, peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan peroleh kemenangan dan kelepasan.

InsyaAllah



Ahad, 7 Jun 2009

MAHALNYA PERKAHWINAN BILA ADA KETENANGAN





MAHALNYA PERKAHWINAN BILA ADA KETENANGAN

ARTIKEL INI DIPETIK DARIPADA LAMAN WEB
www.iluvislam.com
dihantar oleh: sharmerlyana
(koleksi ANIS/ temubual: Zakaria Sungib)
editor: azzahra_solehah

“Mahalnya sebuah perkahwinan adalah pada qurratu a’yun iaitu hadirnya pasangan dan anak-anak yang menyejukkan pandangan mata hingga lahirnya ketenangan. Ketenangan ini yang paling mahal. Sebab itu dikatakan "rumahku syurgaku", kata perunding motivasi Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz.

Ketenangan memang dicari-cari oleh manusia. Bagi seorang lelaki misalnya, apabila hendak mendirikan rumah tangga, fitrah hatinya inginkan seorang wanita yang solehah sebagai teman hidup kerana, menurut Dr. Shafie, “wanita solehahlah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga. ”

Isteri yang solehah, ujarnya, akan menjana aktiviti amal soleh di dalam rumah tangga yang menjadi saluran Allah datangkan ketenangan atau kehidupan yang baik.
Firman Allah: “Siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…”
(An-Nahl: 97)

Isteri yang solehah juga menyejukkan pandangan mata, sekaligus menenangkan jiwa.
“Dalam berumah tangga, kita hendakkan kehidupan yang lapang dan tenang. Tapi kenapa rumah tangga jadi sempit?” soal Dr. Shafie, pengasas Kaedah Al-Huffaz, teknik mudah menghafaz al-Quran.

Beliau berkata, sempitnya rumah tangga disebabkan kita tidak ikut formula yang Allah beri dalam mengatur kehidupan. “Dalam memberi ketenangan, Allah tidak beri begitu saja. Ada formula, ada peraturannya,” ungkapnya dalam pertemuan di pejabatnya di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.

Jelas Dr. Shafie, secara umumnya hati akan tenang bila ingat Allah. “Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang,” demikian maksud firman-Nya (Ar-Ra’d: 28). Di dalam solat, kita memohon melalui bacaan al-Fatihah, “Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat …”.

Nikmat adalah sesuatu yang setiap orang suka dan ia boleh menenangkan hati atau memberi kebahagiaan. “Tetapi dalam realiti,” terang Dr. Shafie, “orang hanya melihat nikmat itu ada pada harta, isteri, anak-anak.”

“Ada yang banyak harta, banyak anak tapi tak bahagia. Kalau semua yang kita miliki itu dapat mendorong kita melakukan amal soleh, barulah ia menjadi sumber kebaikan (dan ketenangan),” jelasnya, merujuk pada amal kebaikan yang dilakukan dalam keadaan beriman iaitu yakin kepada Allah dan ganjaran di akhirat.

Allah menjelaskan, “Dan siapa yang berpaling dari peringatan-Ku, sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.” (Thaha: 124)

Oleh itu, kehidupan yang sempit selepas kahwin adalah natijah dari tidak mengikut aturan Allah dalam mengatur rumah tangga, termasuklah seawal memilih jodoh lagi. “Kadang-kadang sudah bagus dalam memilih pasangan tapi di hari perkahwinan banyak unsur-unsur negatif yang boleh memberi efek kepada perkahwinan,” katanya, memberi contoh amalan bersanding, unsur muzik dalam majlis walimah, mahar yang menyusahkan dan sebagainya.

Dr. Shafie berkata, “Mesti balik kepada formula yang digariskan oleh agama. Kalau tidak, kita akan membinasakan diri kita.” Katanya, rumah tangga yang baik tidak akan lahir jika agama hanya diletakkan sebagai satu segmen kecil dalam kehidupan. Sedangkan, menurutnya, agama Islam itu ad-deen – formula kehidupan.

“Melalui agama, semua formula kehidupan Allah sudah ajar kepada kita,” katanya. “Dalam kehidupan ini setiap sesuatu ada formulanya,” tambahnya, dengan memberi contoh perlunya kita ikut resipi jika hendak buat kuih.

Katanya, Allah telah memberi formula melalui sabda Nabi-Nya, kalau berkehendakkan kehidupan yang baik, rumah tangga yang balik, pilihlah calon pasangan yang beragama. “Manusia memang sukakan kecantikan, tapi asas pemilihan nombor satu mesti agamanya. Agama itu mencetuskan ketenangan,” katanya.

Dr. Shafie berkata, jika formula dari Allah ini dituruti dalam mendirikan rumah tangga bermula dari pemilihan jodoh lagi, dari situlah tercetusnya ketenangan yang akan menjadikan mahalnya sebuah perkahwinan.

"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu" (Imam Nawawi)




Sabtu, 6 Jun 2009

Puisi Tentang Wanita Solehah



Dipetik daripada Web Tagged, Nurul Atiqa
Semoga Menjadi Renungan Buat Sekalian Muslimah...

Dirimu bak kasturi yang mewangi
harumannya bergentayangan di persada bakti
menjadi kebanggaan para suami
yang sanggup membela pengorbanan isteri.

Dalam erat ketaatanmu kepada Ilahi
dalam rapat ikutanmu kepada Nabi
kau sentiasa memakai jilbab menutupi diri
supaya menjadi muslimah yang sejati.

Teladanilah peribadi Ummul Mukminin
mereka memiliki khazanah watak menakjubkan
pakailah mereka sebagai tudung ikutan
yang menutupi aurat keluhuran.

Sedarilah wahai para srikandi
dirimu telah dibela Nabi
indahkanlah dirimu dengan iman di hati
pesonakanlah dirimu dengan taqwa di sanubari.

Dunia ini umpama lautan perhiasan yang indah
sepesona perhiasan adalah permata wanita solehah
yang telah terpateri jiwa ilmu dan mahabbah
kaulah sesungguhnya insan bernama wanita solehah

Rabu, 3 Jun 2009





TAZKIRAH DAN KHUTBAH JUMAAT

Oleh : Saudara Ierwan Ismail

Tarikh : 5 Jun 2009 (Jumaat)
Jam : 1.00 petang
Tempat : Masjid Jamek Kampung Baru Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Muslimin Dijemput Hadir.


TAZKIRAH SUBUH

Oleh : Saudara Ierwan Ismail

Tarikh : 7 Jun 2009 (Ahad)
Jam : 6.30 pagi
Tempat : Masjid Jamek Tok Lebai Hashim, Bukit Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Muslimin & Muslimat Dijemput Hadir.


KULIAH MAGHRIB

Oleh : Saudara Ierwan Ismail

Tarikh : 7 Jun 2009 (Ahad)
Jam : 7.30 malam
Tempat : Surau Kampung Kijang, Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Muslimin & Muslimat Dijemput Hadir.


KULIAH MAGHRIB

Oleh : Saudara Ierwan Ismail

Tarikh : 8 Jun 2009 (Isnin)
Jam : 7.30 malam
Tempat : Surau Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Muslimin & Muslimat Dijemput Hadir.


KULIAH MAGHRIB

Oleh : Saudara Ierwan Ismail

Tarikh : 10 Jun 2009 (Rabu)
Jam : 7.30 malam
Tempat : Masjid Jamek Kampung Baru Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Muslimin & Muslimat Dijemput Hadir.


KULIAH MAGHRIB

Oleh : Saudara Ierwan Ismail

Tarikh : 11 Jun 2009 (Khamis)
Jam : 7.30 malam
Tempat : Surau Taman Markisah, Bkt. Minyak, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Muslimin & Muslimat Dijemput Hadir.


TAZKIRAH DAN KHUTBAH JUMAAT

Oleh : Saudara Ierwan Ismail

Tarikh : 12 Jun 2009 (Jumaat)
Jam : 1.00 petang
Tempat : Masjid Jamek Berapit, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Muslimin Dijemput Hadir.