Wajah-wajah Ceria


Rabu, 19 Mei 2010

Puisi Tercipta Di Kala Anak Bangsa Menempuh Perang...



Puisi ini merupakan kesinambungan daripada puisi Di Meja Ini yang tercipta pada tanggal 3 Mei 2008 di Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya. Ia tercipta tatkala PENA KARUNIAMU (PK) menjadi pengawas peperiksaan untuk anak-anak bangsa KPM Ayer Molek baru-baru ini. Dedikasi buat semua mahasiswa KPM Ayer Molek...

Di Meja Ini (Volume 2)

Di meja ini,
dahuluku mendendang semangat
mencari azimat bukan keramat
mengejar matlamat yang tiada penamat
agar hidup selalu selamat...

Di meja ini juga,
peluhku berlari tak sedar diri
cubanya memujuk hati agar terus berdiri
mencari secebis harga diri
buat bahagia kemudian hari...

Di meja ini,
ku berjuang tiada henti
biar musuh mengancam diri
namun gentar tak terselit di kamus hati
menyerah, tunduk tewas pantang sekali...

Di meja kududuki kini,
ku lihat anak bangsa berperang dengan diri
umpama daku dahulu tiada terperi
Anak bangsa ini bakal memacu negeri
mengendong matlamat ibu pertiwi
kerna jika bukan kalian, siapa lagi...?

Berjuanglah anak bangsaku,
mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara
Jika hari ini kalian dihina, ia bukan selamanya
Jika hari ini kalian dicerca, tiada ia bertahan lama
Jika hari ini kalian berduka, percayalah esok kalian kan gembira
Namun bukan duduk menggoyang kaki saja
kerna itu bukan cara kita

Kita usaha, kita berjaya...

IERWAN ISMAIL
KPM Ayer Molek Melaka
10.00 am, 12 Mei 2010

Isnin, 10 Mei 2010

Buat Kalian Yang Masih Punya Ibu, Kasih Ibu Membawa Ke Syurga...



Apabila kita menghadapi masalah, ibulah yang menjadi tempat mengadu. Walau betapa jauhpun jarak yang memisahkan, beribu batu yang menghalang, namun hanya dengan mendengar suara ibu, segala masalah umpama hilang. Jiwa kita akan merasa tenang dan damai, seolah-olah hinggakan segala masalah yang menyelubungi kita hilang dan lenyap sekelip mata. Itulah apa yang akan ku lakukan tatkala dilanda kerunsingan dan kesusahan.

Itulah keajaiban seorang wanita yang bergelar ibu. Benar jugalah kata pepatah, jangan disangka tangan lemah yang menghayun buaian itu tidak mampu menggoncang seisi dunia. Wanita yang bergelar ibu itu jugalah yang selalu setia menemani kita dikala kesedihan dan kesepian. Ketika kita gembira juga, ibu insan pertama yang berkongsi kegembiraan bersama kita. Ketika kita sakit, ibu juga yang bersengkang mata untuk kita, malahan banyak lagi perkara lain yang ibu lakukan terhadap kita, ia tiada bandingannya.

Kadang-kadang kita memandang golongan ini sebelah mata sahaja. Kita lupa pengorbanan besar mereka. Cuba anda melihat, berapa ramai warga emas yang sekarang ini tinggal di rumah kebajikan untuk menghabiskan dan menamatkan sisa baki kehidupan mereka? Walhal, mereka mempunyai anak, tapi anak-anak yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh enggan menjaga mereka. Faktor KERJAYA, SIBUK dsb menjadi alasan. Adakah ini cara pembalasan anak-anak terhadap ibu yang telah berkorban kepada mereka selama ini?

Semalam saya menonton sebuah drama di rangkaian televisyen berbayar ASTRO. Kisah seorang anak yang dilakonkan oleh aktor Aaron Aziz terlupa seketika ibunya akibat daripada kemewahan serta kedudukan yang diterima olehnya. Watak ibunya yang dilakonkan oleh pelakon Shiela Mambo (kalau tak silap). Turut berlakon adalah pelakon Rebecca Nur Islamiah dan Julia Ziegler. Kasih sayang seorang ibu terserlah dalam drama tersebut yang mana walaupun anaknya tiada di sisi ketika ajanya hamper tiba, ibu tetap juga memaafkan kesalahan serta kesilapan anaknya.

Beringatlah, selagi mereka khususnya ibu masih di sisi, masih boleh bergurau senda dengan kita, hargailah mereka. Jangan diketepikan dan dilupai mereka ini dek kerana kesibukkan kita dengan hal-hal dunia. Janganlah tika mereka sudah tiada, barulah kita hendak menghargai mereka, maka ketika itu menangis air mata darah pun sudah tiada gunanya. Berbaktilah selagi mereka masih ada.

Jangan sesekali kita lupakan jasa dan pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk kebaikan dan kebahagiaan kita semua. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu, jadi berbaktilah dan hargailah mereka selagi kita masih berkesempatan. Saya pernah melihat seorang rakan saya menangis apabila tibanya Hari Ibu kerana ibunya telah tiada dan tidak berkesempatan untuk mambalas jasa ibunya. Jadi, bagi kita yang masih punya ibu, hargailah dan berbaktilah kepada mereka seadanya.

Selamat Hari Ibu saya dedikasikan buat ibu saya yang tercinta, Puan Maznah Bt. Ali di atas segala tunjuk ajar dan kasih sayang yang telah diberikan. Terima kasih bonda. Juga buat bakal ibu mertuaku, Puan Zainab Bt. Yusak, walaupun hanya seketika kehadirannya dalam hidupku, namun ianya memberikan banyak makna dalam hidupku. Terima kasih keduanya, saya sayang kamu. Buat bakal ibu kepada zuriat kami Nurul Ati’qa, Yun mampu jadi isteri dan ibu terbaik, insyaAllah.

From Me With Love,

IERWAN ISMAIL
KPM Ayer Molek Melaka

Ahad, 9 Mei 2010

Berkhutbah atau Membaca Khutbah?



Assalamualaikum dan salam hormat. Bertemu lagi setelah sekian lama saya tidak menulis sehingga menyebabkan blog KARUNIAMU ini berhabuk dengan debu-debuan.

Alhamdulillah, jumaat lepas saya solat Jumaat di salah sebuah masjid berdekatan kolej saya di Melaka. Masjid pon tak jauh, dekat kampung sebelah sahaja. Tamat solat, para jemaah diberikan dua botol air ECPI, ada hamba Allah yang buat kebajikan. Berkaitan dengan tajuk di atas, saya mula berfikir berkenaan khutbah yang disampaikan oleh khatib bertugas. Sebenarnya, perkara ini telah lama bermain-main di kotak pemikiran saya, cuma belum berkesempatan untuk dinukilkan di dalam ruang KARUNIAMU ini. Justeru, hari ini dengan mengambil peluang masa yang ada, saya terpanggil untuk menukilkan sepatah dua pandangan dan kritikan saya khususnya dalam isu khutbah yakni, berkhutbah atau membaca khutbah?

Seingat saya, sepanjang saya bekerja dan menetap di negeri Melaka ini, tidak pernah sekalipun khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib bertugas, baik di masjid negeri, masjid di tepi jalan atau masjid di dalam kampung yang dapat memberikan kesan kepada hati dan jiwa saya. Maaflah jika "statement" saya ini akan menyebabkan orang-orang Melaka tersinggung. Namun begitu, itulah kenyataan yang perlu diterima. Saya tidak nafikan, pelbagai cara digunakan oleh pihak masjid khususnya di Masjid Al-Azim yang mana khutbah dipancarkan melalui LCD Projektor bagi memberikan lebih kefahaman kepada jemaah. Tapi, sejauhmanakah ia dapat menarik perhatian para jemaah untuk memberikan fokus seterusnya isi kandungan khutbah tersebut dapat sampai dan mendarat di hati?

Pertama, diakui bahawa setiap Jabatan Agama Islam negeri menyediakan teks khutbah untuk dibaca oleh para khatib bertugas. Ia merupakan satu perkara yang telah diamalkan sejak sekian lama. Bagi saya, tujuan utama teks khutbah ini disediakan adalah untuk proses dokumentasi. Selain itu, ianya khusus untuk penyelarasan di dalam setiap negeri kerana mungkin ada informasi penting yang ingin disampaikan oleh kerajaan negeri atau persekutuan. Ya, saya akui di sesetengah negeri mewajibkan penyampaian khutbah daripada tajuk atau teks yang telah disediakan. Namun begitu, perlu ada sedikit persediaan di kalangan para khatib bertugas kerana mungkin isu yang perlu disampaikan tidak ada di dalam teks khutbah yang disediakan.

Saya pernah mendengar daripada ceramah yang disampaikan oleh para ustaz dan tuan-tuan guru yang menyebut, isi khutbah yang hendak disampaikan kepada para jemaah mestilah melibatkan isu-isu semasa khususnya dalam hal ehwal agama dan politik. Politik bukanlah bermaksud pilihanraya tetapi seluruh aspek kehidupan yang meliputi ekonomi, budaya, sosial, keamanan dll. Amatlah malang jika sekiranya, sedang saudara mara kita di Palestin dan negara Islam yang lain diserang oleh tentera Musyrikin Amerika Syarikat dan Britain, khutbah kita di Malaysia pula membicarakan isu "Makanlah Buah-Buahan Tempatan". Hal ini ternyata memperlihatkan ketidakprihatinan kita terhadap dunia Islam di luar.

Saya masih ingat lagi, pertama kali saya menyampaikan khutbah, kaki dan tangan saya menggeletar. Mujurlah mimbar masjid ketika itu menutupi keseluruhan bahagian bawah, lebih kurang macam rostrum. Yang para jemaah nampak, cuma bahagian muka dan dada sahaja. Seram sejuk terasa badan. Peluh pula jangan cakap, peluh panas tambah peluh gementar. Orang putih kata “nervous”. Semua ini berlaku pada tahun 2009, di Masjid Jamek Kampung Baru Alma, Bukit Mertajam (kampung saya sendiri). Ltulah kali pertama saya menyampaikan khutbah. Khutbah yang saya garap sendiri hasil bacaan daripada koleksi khutbah lain. Nasib baik JAIPP bukan seperti jabatan agama yang lain, mewajibkan membaca teks khutbah yang disediakan.

Bermula saat itu, saya telah diminta untuk menyampaikan khutbah di masjid kampung sendiri. Alhamdulillah, tidak berapa lama saya telah dijemput oleh masjid-masjid sekitar Bukit Mertajam untuk menyampaikan khutbah Jumaat serta khutbah Hari Raya. Saya bersyukur kerna saya diberikan kepercayaan oleh jawatankuasa kariah masjid untuk menyampaikan khutbah, ceramah serta kuliah walaupun saya bukanlah seorang yang berkelulusan agama. Tapi mungkin berkat ilmu agama yang saya dalami ketika dalam usia muda sehingga kini, penghormatan tersebut diberikan kepada saya. Namun, ia bukanlah tiket untuk saya mencari kepopularitian.

Berkhutbah bukanlah satu tugas yang mudah. Segala tatatertib perlu diikut dengan sebaiknya seperti rukun khutbah dll. Baru-baru ini, timbul isu seorang pemimpin politik menyampaikan khutbah di salah sebuah masjid di Selangor sehinggakan beliau didakwa terlupa melaksanakan salah satu daripada rukun khutbah iaitu selawat ke atas Nabi SAW. Pelbagai tuduhan, kritikan dilemparkan terhadap beliau sehinggakan isu tersebut telah menarik pembabitan SPB Sultan Selangor sendiri. Namun begitu, isu tersebut tidak lama diperdebatkan kerana pihak yang bertanggungjawab terhadap urusan agama Islam di negeri Selangor telah mengambil tindakan cepat bagi meleraikan segala tanda tanya. JAIS melalui pegawainya telah mengesahkan bahawa khutbah yang disampaikan oleh pemimpin tersebut sah dan menepati rukun khutbah.

Berbalik kepada tajuk kita, berkhutbah atau membaca khutbah. Khutbah yang disampaikan oleh khatib merupakan tazkirah mingguan untuk seluruh umat Islam khususnya yang wajib hadir ke solat Jumaat. Justeru, amatlah diharapkan para jemaah dapat memberikan perhatian dan fokus terhadap isi khutbah yang disampaikan. Menyampaikan khutbah bukan mudah, khatib perlu memastikan para jemaah tidak tertidur ketika khutbah disampaikan. Cuba bayangkan, sedang anda menyampaikan khutbah, para jemaah di depan tersengguk-sengguk tidur dan hilang entah ke mana. Sedikit sebanyak, ianya akan menyebabkan timbulnya secebis perasaan sakit di dalam hati. Kenapa jemaah tertidur? Pasti ada sebab mengapa jemaah tertidur ketika khatib sedang menyampaikan khutbah.

Di sini, berdasarkan kajian dan pemerhatian saya, ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan para jemaah terjerumus ke dalam arena "ketiduran yang terlampau" ketika khatib menyampaikan khutbah. Antaranya ialah, faktor keletihan akibat daripada rutin harian pekerjaan. Di Malaysia, hanya 3 buah negeri yang menetapkan hari Jumaat adalah hari cuti hujung minggu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Justeru, kerana keletihan akibat rutin pekerjaan, maka ia sedikit sebanyak menjadi faktor penyebab para jemaah tidur ketika khutbah disampaikan. Faktor kedua ialah, suasana di dalam masjid yang tidak kondusif yang mana ada sesetengah masjid yang panas seolah-olah seperti tiada kipas serta sistem siling masjid yang tidak tahan haba terik panas matahari. Ruang masjid yang sempit mengakibatkan tidak cukup oksigen seterusnya mengundang rasa mengantuk dan memenatkan kepada para jemaah.

Faktor seterusnya, kelayakkan atau soft skill khatib yang boleh dipertikaikan. Ada sesetengah khatib yang hanya membaca teks yang disediakan sehinggakan tiada langsung intonasi dalam pembacaan. Inilah yang terjadi di masjid kampung sebelah kolej saya. Khatib membaca khutbah seolah-olah seperti ada rasa takut dan bimbang ketinggalan pesawat ke Pulau Pinang. Seboleh-bolehnya, khutbah ingin dihabiskan secepat mungkin. Tiada interaksi dengan para jemaah malah ada yang sebenarnya, tidak tahu pun membaca khutbah sehinggakan tergagap-gagap jadinya. Hal ini secara tidak langsung memberikan kesan terhadap tumpuan para jemaah seterusnya menyebabkan para jemaah tertidur. Keadaan mungkin bertambah buruk sekiranya sistem audio yang kurang baik walaupun keadaan masjid sebegitu gah. Ituah yang saya alami.

Seperti yang saya telah ulas di awal tadi, isi kandungan khutbah yang disampaikan juga tidak menyentuh sensitiviti serta tiada kaitan dengan isu semasa. Isi kandungan kebanyakan khutbah tidak fokus, konteks yang terlalu luas dan terlalu umum serta isunya yang langsung tiada intipati yang wajar dan berguna, misalnya kempen Makanlah Buah-Buahan Tempatan ataupun Belilah Barangan Buatan Malaysia. Adalah lebih baik atau lebih afdal jika khutbah disampaikan memperdebatkan isu setempat yang berlaku di tempat berkenaan yang ianya lebih dekat di hati pendengar yakni para jemaah.

Justeru, saya ingin menggalakkan para khatib agar memperhalusi serta mempelajari segala aspek penting berkaitan penyampaian khutbah ini. Selalunya, kelemahan sebegini di kalangan para khatib dapat dilihat kepada para khatib veteren. Mereka masih terikut-ikut dengan rentak lama sehinggakan tidak mengambil berat soal-soal lain seperti intonasi, menarik perhatian para jemaah dll. Namun begitu, bukan semua khatib sebegini. Ada juga para khatib veteren yang sentiasa berubah mengikut arus zaman. Ternyatalah bahawa mereka faham konsep yang dikehendaki dalam Islam. Khutbah bukan sekadar membaca, tetapi di dalam khutbah perlu ada segala ciri-ciri penting yang mampu menarik perhatian jemaah yang akhirnya akan terus menjadi ingatan para jemaah sampai bila-bila, insyaAllah. Sekian untuk kali ini.

Wallahu'alam.

IERWAN ISMAIL
KPM Ayer Molek, Melaka.