NEGARA PARAH : ZINA, ROGOL DAN BUANG BAYI BERLELUASA
http://episodeperjuangan.blogspot.com/
1. Peradaban dan tamadun negara kita kian musnah malah semakin parah dan dahsyat . Penghuninya telah hilang perikemanusiaan . Segalanya bermula dari nafsu yang gagal dikawal serta diasuh dengan akhlak dan moral yang positif .
2. Gejala zina [ seks bebas ] , buang bayi , rogol dan bunuh semakin menjadi - jadi . Seperti sistem pentadbiran dan sosial negara kita tidak berkesan langsung untuk membendung kemungkaran dan jenayah yang semakin berleluasa serta kejam .
3. Ia bukan lagi menjadi masaalah individu tetapi juga masyarakat . Ia bukan lagi menjadi masaalah negara tetapi juga rakyat . Ia bukan lagi masaalah pemerintah tetapi juga pembangkang . Ia masaalah semua . Semua mesti bertanggungjawab .
4. Saya kira negara mesti mengambil langkah drastik . Parlimen mesti segera membincangkan perkara ini secara serius justeru kini ia telah menjadi barah dalam masyarakat . Jangan tangguh atau lengah kerana semakin hari semakin ramai bayi luar nikah dilahirkan , semakin ramai bayi dibunuh kejam , semakin ramai yang berzina , semakin ramai yang bergaul bebas , semakin ramai yang menjadi mangsa rogol dan semakin ramai mangsa dibunuh .
5. Sampai bila perkara ini mahu dibiarkan berlarutan ? seketika dulu , kondom diperkenalkan untuk mengelakkan kehamilan dan aids kononnya , namun nyata ia tidak menyelesaikan masaalah . Kehamilan luar nikah terus berleluasa dan penyakit aids terus merebak dan berkembang . Selesaikah cadangan mahu menubuhkan bank bayi ? selesaikah sekadar mahu menubuhkan sekolah pelajar hamil ? selesaikah sekadar pendidikan seks di sekolah ?
6. Mungkar dan jenayah ini berlaku bukan kerana mereka tidak cukup kondom , bukan kerana tiada tempat mereka mahu melahirkan bayi , bukan kerana tidak tahu di mana mereka harus menyambung pelajaran dan apa yang berlaku juga bukan kerana mereka jahil dan buta tentang seks ! Sebaliknya apa yang berlaku ialah kerana manusia jahil tentang agama . Mereka menjadi hamba nafsu dan mangsa budaya maksiat yang bermaharajalela dalam negara kita mutaakhir ini.
7. Kelab - kelab malam beroperasi sehingga ke awal pagi dengan aktiviti yang sangat jalang , sundal dan tidak bermoral . Tarian lucah , arak dan pil ectasy , pelacuran , pergaulan bebas , penzinaan atau seks bebas menjadi rutin . Aktiviti hiburan mengatasi majlis ilmu dan kegiatan yang berfaedah. Maksiat ini telah menular dari bandar ke kampung , dari desa ke felda , dari pekan dan taman perumahan .
8. Saya menyeru semua pihak khasnya para pemimpin negara , pemimpin masyarakat , ahli - ahli parlimen , ahli - ahli Dewan Undangan Negeri , imam - imam masjid , ahli agama , ahli politik , ngo dan seluruh rakyat sedar dan menginsafi perkara ini agar kita tidak lagi lengah dan hanya beretorik . Hentikan pertelagahan dan percakaran yang tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya segera ambil langkah berkesan untuk selamatkan negara . Laksanakan peranan masing - masing . Jangan banyak mulut tetapi banyakkan kerja .
9. Hapuskan segala anasir yang merangsang nafsu gila manusia yang mendorong berlakunya maksiat , mungkar dan jenayah ini . Makmurkan negara dengan aktiviti yang bermoral dan berakhlak serta mendidik minda dan peribadi . Sebagai contoh tindakan drastik yang mesti diambil ialah :
Hentikanlah rancangan televisyen yang tidak bermoral
Sekat dan kawal secara serius lambakan video lucah
Basmi habis - habisan pusat pelacuran dan hiburan yang melampau
Sekat laman - laman lucah secara serius
Menguatkuasa undang2 syariah
Bantu dan banyakkan pusat pengajian Islam
Aktifkan aktiviti yang mendidik minda dan sebagainya .
Banyak lagi langkah yang perlu diambil . [ sekadar menyebut beberapa contoh ]
10. Malaysia perlu bertindak segera . Bertindak sekarang ! bukan esok atau lusa ! negara kini menuju ke curam binasa . Kembalilah kepada Islam dan cara hidupnya . Dewan Pemuda PAS sedia memberi khidmat upaya dan tenaga yang dimiliki untuk tujuan menyelamatkan negara dari pengaruh maksiat dan mungkar yang semakin parah ini .
Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan