Isnin, 10 Mei 2010

Buat Kalian Yang Masih Punya Ibu, Kasih Ibu Membawa Ke Syurga...



Apabila kita menghadapi masalah, ibulah yang menjadi tempat mengadu. Walau betapa jauhpun jarak yang memisahkan, beribu batu yang menghalang, namun hanya dengan mendengar suara ibu, segala masalah umpama hilang. Jiwa kita akan merasa tenang dan damai, seolah-olah hinggakan segala masalah yang menyelubungi kita hilang dan lenyap sekelip mata. Itulah apa yang akan ku lakukan tatkala dilanda kerunsingan dan kesusahan.

Itulah keajaiban seorang wanita yang bergelar ibu. Benar jugalah kata pepatah, jangan disangka tangan lemah yang menghayun buaian itu tidak mampu menggoncang seisi dunia. Wanita yang bergelar ibu itu jugalah yang selalu setia menemani kita dikala kesedihan dan kesepian. Ketika kita gembira juga, ibu insan pertama yang berkongsi kegembiraan bersama kita. Ketika kita sakit, ibu juga yang bersengkang mata untuk kita, malahan banyak lagi perkara lain yang ibu lakukan terhadap kita, ia tiada bandingannya.

Kadang-kadang kita memandang golongan ini sebelah mata sahaja. Kita lupa pengorbanan besar mereka. Cuba anda melihat, berapa ramai warga emas yang sekarang ini tinggal di rumah kebajikan untuk menghabiskan dan menamatkan sisa baki kehidupan mereka? Walhal, mereka mempunyai anak, tapi anak-anak yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh enggan menjaga mereka. Faktor KERJAYA, SIBUK dsb menjadi alasan. Adakah ini cara pembalasan anak-anak terhadap ibu yang telah berkorban kepada mereka selama ini?

Semalam saya menonton sebuah drama di rangkaian televisyen berbayar ASTRO. Kisah seorang anak yang dilakonkan oleh aktor Aaron Aziz terlupa seketika ibunya akibat daripada kemewahan serta kedudukan yang diterima olehnya. Watak ibunya yang dilakonkan oleh pelakon Shiela Mambo (kalau tak silap). Turut berlakon adalah pelakon Rebecca Nur Islamiah dan Julia Ziegler. Kasih sayang seorang ibu terserlah dalam drama tersebut yang mana walaupun anaknya tiada di sisi ketika ajanya hamper tiba, ibu tetap juga memaafkan kesalahan serta kesilapan anaknya.

Beringatlah, selagi mereka khususnya ibu masih di sisi, masih boleh bergurau senda dengan kita, hargailah mereka. Jangan diketepikan dan dilupai mereka ini dek kerana kesibukkan kita dengan hal-hal dunia. Janganlah tika mereka sudah tiada, barulah kita hendak menghargai mereka, maka ketika itu menangis air mata darah pun sudah tiada gunanya. Berbaktilah selagi mereka masih ada.

Jangan sesekali kita lupakan jasa dan pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk kebaikan dan kebahagiaan kita semua. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu, jadi berbaktilah dan hargailah mereka selagi kita masih berkesempatan. Saya pernah melihat seorang rakan saya menangis apabila tibanya Hari Ibu kerana ibunya telah tiada dan tidak berkesempatan untuk mambalas jasa ibunya. Jadi, bagi kita yang masih punya ibu, hargailah dan berbaktilah kepada mereka seadanya.

Selamat Hari Ibu saya dedikasikan buat ibu saya yang tercinta, Puan Maznah Bt. Ali di atas segala tunjuk ajar dan kasih sayang yang telah diberikan. Terima kasih bonda. Juga buat bakal ibu mertuaku, Puan Zainab Bt. Yusak, walaupun hanya seketika kehadirannya dalam hidupku, namun ianya memberikan banyak makna dalam hidupku. Terima kasih keduanya, saya sayang kamu. Buat bakal ibu kepada zuriat kami Nurul Ati’qa, Yun mampu jadi isteri dan ibu terbaik, insyaAllah.

From Me With Love,

IERWAN ISMAIL
KPM Ayer Molek Melaka

Tiada ulasan: