skip to main |
skip to sidebar
MAHALNYA PERKAHWINAN BILA ADA KETENANGAN
ARTIKEL INI DIPETIK DARIPADA LAMAN WEB
www.iluvislam.com
dihantar oleh: sharmerlyana
(koleksi ANIS/ temubual: Zakaria Sungib)
editor: azzahra_solehah
“Mahalnya sebuah perkahwinan adalah pada qurratu a’yun iaitu hadirnya pasangan dan anak-anak yang menyejukkan pandangan mata hingga lahirnya ketenangan. Ketenangan ini yang paling mahal. Sebab itu dikatakan "rumahku syurgaku", kata perunding motivasi Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz.
Ketenangan memang dicari-cari oleh manusia. Bagi seorang lelaki misalnya, apabila hendak mendirikan rumah tangga, fitrah hatinya inginkan seorang wanita yang solehah sebagai teman hidup kerana, menurut Dr. Shafie, “wanita solehahlah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga. ”
Isteri yang solehah, ujarnya, akan menjana aktiviti amal soleh di dalam rumah tangga yang menjadi saluran Allah datangkan ketenangan atau kehidupan yang baik.
Firman Allah: “Siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…”
(An-Nahl: 97)
Isteri yang solehah juga menyejukkan pandangan mata, sekaligus menenangkan jiwa.
“Dalam berumah tangga, kita hendakkan kehidupan yang lapang dan tenang. Tapi kenapa rumah tangga jadi sempit?” soal Dr. Shafie, pengasas Kaedah Al-Huffaz, teknik mudah menghafaz al-Quran.
Beliau berkata, sempitnya rumah tangga disebabkan kita tidak ikut formula yang Allah beri dalam mengatur kehidupan. “Dalam memberi ketenangan, Allah tidak beri begitu saja. Ada formula, ada peraturannya,” ungkapnya dalam pertemuan di pejabatnya di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.
Jelas Dr. Shafie, secara umumnya hati akan tenang bila ingat Allah. “Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang,” demikian maksud firman-Nya (Ar-Ra’d: 28). Di dalam solat, kita memohon melalui bacaan al-Fatihah, “Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat …”.
Nikmat adalah sesuatu yang setiap orang suka dan ia boleh menenangkan hati atau memberi kebahagiaan. “Tetapi dalam realiti,” terang Dr. Shafie, “orang hanya melihat nikmat itu ada pada harta, isteri, anak-anak.”
“Ada yang banyak harta, banyak anak tapi tak bahagia. Kalau semua yang kita miliki itu dapat mendorong kita melakukan amal soleh, barulah ia menjadi sumber kebaikan (dan ketenangan),” jelasnya, merujuk pada amal kebaikan yang dilakukan dalam keadaan beriman iaitu yakin kepada Allah dan ganjaran di akhirat.
Allah menjelaskan, “Dan siapa yang berpaling dari peringatan-Ku, sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.” (Thaha: 124)
Oleh itu, kehidupan yang sempit selepas kahwin adalah natijah dari tidak mengikut aturan Allah dalam mengatur rumah tangga, termasuklah seawal memilih jodoh lagi. “Kadang-kadang sudah bagus dalam memilih pasangan tapi di hari perkahwinan banyak unsur-unsur negatif yang boleh memberi efek kepada perkahwinan,” katanya, memberi contoh amalan bersanding, unsur muzik dalam majlis walimah, mahar yang menyusahkan dan sebagainya.
Dr. Shafie berkata, “Mesti balik kepada formula yang digariskan oleh agama. Kalau tidak, kita akan membinasakan diri kita.” Katanya, rumah tangga yang baik tidak akan lahir jika agama hanya diletakkan sebagai satu segmen kecil dalam kehidupan. Sedangkan, menurutnya, agama Islam itu ad-deen – formula kehidupan.
“Melalui agama, semua formula kehidupan Allah sudah ajar kepada kita,” katanya. “Dalam kehidupan ini setiap sesuatu ada formulanya,” tambahnya, dengan memberi contoh perlunya kita ikut resipi jika hendak buat kuih.
Katanya, Allah telah memberi formula melalui sabda Nabi-Nya, kalau berkehendakkan kehidupan yang baik, rumah tangga yang balik, pilihlah calon pasangan yang beragama. “Manusia memang sukakan kecantikan, tapi asas pemilihan nombor satu mesti agamanya. Agama itu mencetuskan ketenangan,” katanya.
Dr. Shafie berkata, jika formula dari Allah ini dituruti dalam mendirikan rumah tangga bermula dari pemilihan jodoh lagi, dari situlah tercetusnya ketenangan yang akan menjadikan mahalnya sebuah perkahwinan.
"Aku menyintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu" (Imam Nawawi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan